Lima cabaran kontemporari peradaban manusia

Masalah kemiskinan, pengabaian hak asasi manusia, keganasan, perubahan iklim dan teknologi perlu diselesaikan dengan tuntas.

5520 0
5520 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh Berita Alhijrah, gambar-gambar daripada Berita Alhijrah.

Sebuah kaedah fiqh menyebutkan, dar’ al-mafasid awla min jalb al-masalih (menghapuskan mudarat diutamakan ketimbang menarik maslahat). Tokoh multidisiplinari, al-Imam al-Suyuti dalam kitabnya al-Ashbah wa al-Naza’ir menjelaskan bahawa pendahuluan penolakan mudarat ini bersumber daripada hadith Nabi SAW yang menyebut:

Segala sesuatu yang telah aku larang kamu daripada melakukannya, maka jauhilah ia. Dan segala  apa yang telah aku perintahkan kamu untuk melakukannya, maka lakukanlah ia semampu kamu.”

Saat perintah Nabi untuk melakukan sesuatu mengambil kira kemampuan seseorang, larangannya daripada melakukan sesuatu pula diikat secara mutlak. Ini menjelaskan sebuah hierarki di mana membanteras kerosakan wajar diutamakan saat bertembung dengan penarikan maslahat.

Dalam sesetengah keadaan, keutamaan membanteras mudarat meningkat saat ia melibatkan ramai orang. Memandangkan mudarat yang akan dibahaskan selepas ini berkait rapat dengan seluruh umat manusia, maka tentulah amat penting untuk ia diselidik dan dibanteras dengan tuntas sebelum menatijahkan kerosakan yang lebih besar.

Hasil daripada cerapan ke atas wacana awam dan kajian kontemporari, dapat disimpulkan bahawa cabaran yang dihadapi oleh manusia moden pada hari ini terbahagi kepada lima pecahan besar: kemiskinan, pengabaian hak asasi manusia, keganasan, perubahan iklim dan teknologi.

Tiga mudarat yang awal merupakan natijah daripada pengabaian maqasid terhadap manusia, sementara dua yang akhir hasil daripada pengabaian maqasid terhadap objek selain manusia. Ia merupakan cabaran yang akan membelenggu kita setidaknya untuk 10-20 tahun akan datang, dan kemampuan kita untuk menangani cabaran ini akan menentukan nasib kita pada masa depan.

Pertamanya, gejala kemiskinan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah meletakkan prinsip menamatkan kemiskinan melampau sebagai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang pertama. Sehingga tahun 2015, kira-kira 10% daripada populasi manusia hidup dalam kemiskinan melampau, yang disifatkan oleh Bank Dunia dengan perbelanjaan sehari kurang daripada $1.90.

Dalam Islam, kemiskinan merupakan fenomena yang diberi keutamaan untuk dibanteras. Mekanisme seperti zakat, waqaf, dan berbagai sedekah sunat disyariatkan untuk membantu mengeluarkan keluarga yang susah daripada kepompong kemiskinan.

Selain wang ringgit, pendidikan turut berperanan sebagai penyelamat. Anak-anak daripada keluarga susah yang diberi akses kepada pendidikan mampu merubah nasib keluarga, sekaligus menamatkan kitaran kemiskinan yang berpangkal pada kurangnya pendidikan.

Fenomena ini membawa kepada cabaran yang kedua, yakni pengabaian hak asasi manusia. Perbincangan hak asasi berakar pada konsep kebebasan. Menurut sarjana kontemporari Tariq Ramadan, kebebasan yang paling wajar untuk diberikan perhatian adalah kebebasan fisiologi, yakni hak untuk makan dan minum. Hanya dengan fisiologi yang bebas barulah perjuangan kebebasan lain seperti hak berpolitik, berhimpun, menyatakan pandangan dan lainnya menjadi relevan.

Dalam Islam, setiap individu dianjurkan untuk memperjuangkan kebebasan diri daripada dijajah oleh nafsunya sendiri (ikhraj al-mukallaf ‘an da‘iyati hawahu), sebagaimana yang diungkapkan oleh sarjana Maqasid kurun ke-14 al-Imam Abu Ishaq al-Shatibi dalam magnum opusnya al-Muwafaqat.

Sekiranya kebebasan manusia tidak dipelihara, ia akan menatijahkan berbagai kemudaratan seperti tekanan (psikologi), masalah kesihatan (fisiologi) dan salah faham terhadap agama dan kehidupan (intelek).

Perkara ini membawa kita kepada masalah keganasan yang begitu mewabak. Penafian kebebasan asasi seperti kebebasan politik, intelek dan fisiologi membuka pintu kepada keganasan. Tekanan politik misalnya, akan menyemai benih pemberontakan dalam diri masyarakat.

Begitu juga dengan tekanan psikologi dan pengalaman traumatik seperti penjajahan, akan melahirkan individu yang berkecenderungan berlaku ganas terhadap awam. Kebebasan intelek yang disekat akan menatijahkan tafsiran yang salah terhadap nas wahyu, sebagaimana yang dizahirkan oleh militan Daesh.

Ketiga-tiga mudarat ini perlu dibanteras dengan tuntas untuk mempersiap ruang dan masa yang cukup bagi menyelesaikan dua lagi masalah moden; perubahan iklim dan teknologi.

Kedua-duanya tergolong dalam kategori mudarat yang terhasil daripada pengabaian maqasid terhadap objek bukan manusia seperti haiwan, tumbuhan dan objek buatan manusia.

Contohnya, pengabaian maqsad hifz al-bi’ah (pemeliharaan alam). Ia telah membuka pintu kepada manipulasi alam oleh manusia menurut perkiraan keuntungan dan hawa nafsunya, sekaligus mengakibatkan pencemaran dan kemusnahan alam sekitar.

Meskipun perubahan iklim adalah sebahagian daripada proses semulajadi alam, namun pencemaran yang dilakukan oleh manusia ternyata mempercepatkan lagi proses yang memudaratkan ini. Pelepasan gas rumah hijau yang tidak terkawal serta pengamalan industri yang tidak mesra alam menjadi pemangkin kepada krisis ini.

Walhal manusia selaku khalifah sewajarnya berpegang pada amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya untuk memelihara alam serta meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya.

Adapun teknologi, maka ia merupakan cabaran terhadap survival manusia sekiranya penerokaan sains itu tidak dibimbing dengan etika dan tatasusila keagamaan. Tidak dinafikan bahawa teknologi telah menambah baik kondisi manusia dan banyak membantu manusia dalam menangani berbagai masalah.

Walaubagaimanapun, teknologi juga mampu mengakibatkan mudarat sekiranya tidak dipantau. Pengeboman Hiroshima dan Nagasaki telah dibantu oleh teknologi fizik nuklear. Dominasi perkakas visual telah merampas masa bersosial dan kecergasan manusia. Dan sekiranya dibiarkan, kepintaran buatan (AI) akan mengambil alih sebahagian besar pekerjaan manusia dalam masa satu dekad.

Cabaran-cabaran ini wajar disikapi secara profesional, dan diperkemas dengan kajian yang holistik kerana ia akan menentukan masa depan kita untuk sedekad dua dekad akan datang. Yang menjadi penentu adalah kesediaan kerajaan dan pihak berwajib untuk mengenepikan semasa agenda pembangunan material (maslahat) dan menumpukan fokus untuk membanteras mudarat-mudarat ini yang mampu mengancam kesejahteraan peradaban manusia.

Hilman Fikri Azman merupakan Pegawai Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article