PH yang perlukan PAS, atau PAS yang perlukan PH?

PH mesti kekalkan semangat konsultasi dan muafakat sesama pucuk pimpinan parti komponen untuk menutup campur tangan parti luar.

1410 0
1410 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh EMIR Research, gambar daripada Free Malaysia Today.

Strategi “red herring” (alih perhatian) yang digunakan oleh PAS selepas disiasat SPRM lantaran dakwaan penerimaan RM90 juta daripada BN untuk PRU ke-14 telah mendapat liputan meluas. Strategi yang dimaksudkan merujuk kepada sokongan terbuka yang diisytihar oleh PAS terhadap Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Mereka hanya perlu mencipta suatu naratif palsu yang popular, seperti yang berunsur konspirasi, yang disokong kuat oleh pucuk pimpinannya secara berterusan melalui beberapa siri kenyataan, dengan matlamat agar ia benar-benar menjadi kebenaran. Dalam psikologi ia disebut sebagai ramalan swawujud (self-fulfilling prophecy).

Sokongan PAS terhadap kepimpinan Dr Mahathir dilakukan dengan cara: (1) mengkambinghitamkan parti komponen Pakatan Harapan (PH) selain Bersatu; dan (2) menyokongnya sebagai Perdana Menteri untuk sepenggal penuh.

Yang penting, kita perlu memahami bagaimana cara PAS menyusun strateginya agar reaksi yang tepat dan tuntas boleh diambil.

Sokong membawa rebah

Pertamanya, bagi mereka yang menekuni sirah, ini merupakan strategi Nu‘aym bin Mas‘ud, sebagaimana yang dibangkitkan oleh Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin sendiri. Ia bermatlamat untuk mewujudkan prasangka dan keretakan dalam pakatan lawan i.e. PH.

PAS percaya pada azimat “bersatu teguh, bercerai roboh,” sebagaimana yang dinyatakan oleh Presidennya dalam menghikayatkan kisah-kisah kejatuhan empayar Muslim yang terdahulu. Namun dalam hal ini, umpama sokong membawa rebah, PAS ingin menjadi faktor pencerai dalam merobohkan Pakatan Harapan.

Setelah PAS menggerakkan buat caturnya, kini merupakan giliran PH untuk bertindak. PH, menerusi wakil daripada setiap parti komponen perlu tegaskan bahawa mereka tidak perlukan sokongan PAS, kerana Majlis Presiden PH sememangnya menyokong kepimpinan Dr Mahathir, sebagaimana yang dinyatakan oleh Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Abdullah.

Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu juga telah menafikan adanya unsur komplot terhadap pemimpin mereka. Dengan ini, tohmahan berunsur pengkhianatan yang dilemparkan oleh PAS terhadap parti-parti tersebut lenyap.

Namun mengapakah PAS mengikrarkan ‘perbezaan komitmen’ dalam menyokong BN untuk PRK Semenyih kali ini? Adakah ia semata-mata untuk mengalihkan perhatian, atau PAS sedar bahawa ta‘awun siyasinya (kerjasama politik) dengan BN tidak mampu untuk bertahan dalam jangka masa panjang?

Ungkit isu lama

Keduanya, PH tidak perlu mempedulikan retorik sokongan PAS terhadap Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selama sepenggal, yang juga merupakan percubaan untuk memusnahkan muafakat sesama Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim. Sedangkan sebelum ini, Presiden PAS Abdul Hadi juga yang mewar-warkan bahawa Dr Mahathir berbahaya untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.

Oleh yang demikian, tindakan Abdul Hadi tersebut dilihat tidak lain tidak bukan hanya untuk menghangatkan semula isu peralihan tampuk kepimpinan yang sudah berkali-kali dijawab oleh kedua-dua Dr Mahathir dan Anwar, dan bukannya suatu bentuk sokongan yang tulen.

Dan sekiranya PAS benar-benar menyokong Dr Mahathir – meski kita meraguinya ekoran prinsip bohong shar‘i yang mereka pegang – mereka mesti membuktikan sokongan itu kepada penyokong PAS dengan menyokong calon PH yang telah dipersetujui oleh Dr Mahathir sendiri dalam PRK Semenyih kali ini.

Daripada sudut pandang seni berpolitik, kita tidak mempertikai langkah licik dan taktik PAS dalam mengejar kekuasaan. Namun, yang meresahkan sebahagian umat Islam di Malaysia – dan rakyat secara umumnya – adalah pendekatan mereka yang memperalat dalil agama dan sirah Nabi SAW demi kepentingan eksklusif mereka.

Muafakat elak campur tangan parti luar

Karl Popper telah menjelaskan bahawa sistem demokrasi yang kita amalkan – di sebalik segala kekurangannya – lebih menjamin kemaslahatan rakyat secara amnya ketimbang sistem tirani, sama ada teokrasi atau sekular. Demokrasi meletakkan semua pemain politik di satu tahap yang sama serta diikat dengan kedaulatan undang-undang.

Kebebasan bersuara dan hak mengkritik secara bertamadun dijamin sebagai salah satu ciri demokrasi dalam Malaysia Baru. Namun tidak semua kritikan perlu disuarakan secara terbuka, terutamanya sesuatu yang boleh dibincangkan bersama pucuk pimpinan parti.

Konsep keadilan mengajar kita agar meletakkan sesuatu pada tempatnya, dan untuk itu sesuatu ketidaksetujuan perlu disuarakan mengikut saluran yang betul. Jangan biarkan tragedi Pakatan Rakyat berbuah dua kali.

PH mesti kekalkan semangat konsultasi dan muafakat sesama pucuk pimpinan parti komponen untuk menutup campur tangan parti luar. Sekiranya persefahaman dapat diwujudkan dan adab berbeza pandangan dapat dihayati oleh para pemimpin, kestabilan dapat dirasakan oleh rakyat dan fokus untuk membaiki ekonomi dan mereformasi negara dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan.

Hilman Fikri Azman merupakan Pegawai Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article