Azam e-dompet 2020

Mentransformasikan pendigitalan institusi kewangan, sekali gus memacu kepada inovasi yang baru.

1518 0
1518 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh The Malaysian Insight, gambar daripada The Malaysian Insight.

Dengan peruntukan RM450 juta untuk e-dompet dalam Belanjawan 2020, lambakan platform e-dompet yang wujud akhir-akhir ini dijangka bertambah menjadi rancak tahun ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sejauh mana kerajaan serius dalam menyokong keseluruhan industri perbankan digital yang pastinya memerlukan pelaburan yang amat tinggi.

Sebelum itu, apakah yang dimaksudkan dengan e-dompet? E-dompet atau E-wallet merupakan satu sistem pembayaran elektronik berfungsi seperti bank, menyimpan wang, kad debit atau kad kredit dalam satu aplikasi di telefon pintar untuk tujuan pembayaran.

Secara mudahnya, e-dompet menggantikan dompet fizikal dan pengguna boleh berbelanja tanpa menggunakan kad dan tunai di tangan.

Kementerian Kewangan memperkenalkan inisiatif e-Tunai Rakyat. Melalui inisiatif ini, kerajaan ingin menggalakkan penggunaan pembayaran secara digital dalam kalangan rakyat dan pedagang tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan perniagaan runcit.

Khazanah Nasional diamanahkan untuk menguruskan peruntukan tersebut, yang memberi manfaat kepada kira-kira 15 juta rakyat Malaysia.

Pada Disember lalu, Khazanah Nasional mengumumkan tempoh penebusan e-dompet bernilai RM30 secara one-off mulai 15 Januari, 2020 sehingga 14 Mac, 2020 kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas serta pendapatan tahunan tidak melebihi RM100,000. 

Khazanah Nasional juga mengumumkan, bukan satu tetapi tiga pengendali perkhidmatan e-dompet terkenal dipilih untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif kerajaan iaitu Touch ‘n Go eWallet, Boost dan Grabpay.

Ia memberi keselesaan kepada rakyat untuk memilih pengendali perkhidmatan e-dompet yang sering mereka gunakan.

Pengendali perkhidmatan e-dompet ini dinilai berdasarkan empat kriteria iaitu pengendali yang telah membuat pelaburan besar dalam industri e-dompet, memiliki jumlah pengguna aktif yang serta rangkaian pedagang yang besar dan memiliki kepakaran teknikal, kekuatan kewangan dan sumber manusia untuk membangunkan sistem yang lengkap.

Ini merupakan langkah yang baik untuk mencegah monopoli sesuatu syarikat terhadap sesuatu perkhidmatan yang ingin ditawarkan kepada pengguna.

Pengguna mempunyai kuasa untuk memilih perkhidmatan yang ditawarkan, seterusnya memaksa peneraju perkhidmatan untuk terus menerus mencipta sistem yang mesra pengguna dan lebih sistematik.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Institusi Penyelidik Emir Research, 61% rakyat tidak pasti dan tidak berpuas hati dengan monopoli syarikat besar di Malaysia. Paling terkesan adalah penduduk yang berada di luar bandar.

Tujuh daripada 10 penduduk di luar bandar kurang pasti dan tidak berpuas hati dengan monopoli yang wujud sebelum ini.

Sementara itu, Adnan Zaylani Mohamad Zahid, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dalam ucapannya ketika majlis Anugerah Kecemerlangan E-Pembayaran Malaysia (MEEA) Ogos lepas menekankan mengenai kelangsungan e-dompet dalam menggalakkan pengguna untuk menggunakan perbankan digital.

Beliau mengatakan sebahagian pengendali perkhidmatan e-dompet memberi pulangan duit atau cashback yang lumayan kepada penggunanya. Sebagai permulaan, ia sangat baik, namun sampai bila faedah itu akan berkekalan?

Untuk mengekalkan kelangsungan e-dompet, para pengendali perkhidmatan e-dompet perlu lebih kreatif dalam menarik minat pengguna untuk terus menggunakan e-dompet sebagai medium utama pembayaran.

Sesetengah daripada mereka sudah mula ke hadapan dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan tambahan termasuk pembayaran bil dan tempat letak kereta, termasuk boleh menempah tiket wayang sehingga kemudahan pos barang.

Jadi, apakah penambahbaikan yang ingin dilihat pada 2020?

Jaminan keselamatan. Hasil tinjauan syarikat Neilsen, 50 peratus pengguna masih ragu-ragu dengan tahap keselamatan e-dompet. Dengan kemajuan keselamatan mengubah kepada kod (encryption), QR kod, dan biometrik (fingerprint & FaceID), sudah tentu ia tiada masalah untuk peneraju e-dompet meningkatkan tahap keselamatan yang lebih utuh.

Seterusnya, peranan kerajaan terhadap peniaga kecil dan sederhana. Transaksi pembayaran e-dompet memerlukan interaksi dua hala, iaitu peniaga dan pengguna. Justeru, pihak kerajaan perlu membantu peniaga kecil dan sederhana dalam penyediaan platform untuk menerima pembayaran menggunakan e-dompet selari dengan peningkatan pengguna e-dompet yang seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Bagaimana pula dengan pembayaran e-dompet secara offline? Hasil penyelidikan daripada Fintech Malaysia, daripada 24.7 juta rakyat Malaysia yang mempunyai telefon pintar, 86% sudah memiliki sambungan internet.

Walaupun pembayaran e-dompet secara offline tampak rumit, namun agak sukar juga untuk menemui pengguna telefon pintar yang tiada sambungan Internet.

Dan apabila berbelanja tanpa tunai di tangan, kadangkala pengguna tidak sedar jumlah yang telah dibelanjakan dan tidak pasti baki perbelanjaan yang masih tinggal. Ini akan mendorong kepada perbelanjaan melebihi pendapatan.

Notis pemberitahuan atau had perbelanjaan di aplikasi e-dompet sangat membantu dalam membendung hal sedemikian daripada berlaku.

Sudah tentu, masih banyak lagi penambaikkan yang boleh dilakukan, sama ada daripada pihak kerajaan mahupun swasta. Pengguna semakin bijak, mereka menginginkan sesuatu yang selamat, mudah, murah, dan dapat menyelesaikan masalah mereka dengan pantas.

Lambat atau cepat, penggunaan e-dompet di Malaysia akan terus meningkat. Lihat sahaja di China, walaupun permulaan aplikasi WeChat Pay (e-dompet) tidak memberangsangkan ketika ia diperkenalkan pada tahun 2013, namun pada 2014, pengguna mereka bertambah daripada 30 juta kepada 100 juta dalam masa hanya sebulan.

Faedahnya terhadap Malaysia? Ia akan merancakkan lagi pertumbuhan ekosistem kewangan negara, selain dapat mentransformasikan pendigitalan institusi kewangan, sekali gus memacu kepada inovasi yang baru.

Amir Jalal merupakan Pegawai Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article