Doktrin Baharu Politik Malaysia

Gaya komunikasi wajar diperbaharui. Interaksi bersama rakyat perlu diberi nafas baru.

1672 0
1672 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh EMIR Research, gambar daripada Free Malaysia Today.

Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bukan saja mengejutkan dari segi jumlah undi majoriti besar yang diraih Barisan Nasional (BN), namun ia juga mencerminkan satu fenomena baru yang memaparkan kematangan demokrasi politik Malaysia melalui peralihan teknologi dan budaya politik semasa, termasuk liberalisasi politik yang semakin diterapkan.

Gaya interaksi antara kerajaan dan rakyat perlu dilihat semula. Bukan sahaja kerajaan, tetapi kesemua wakil rakyat yang telah pilih. Bekerja untuk rakyat, berkhidmat untuk rakyat, dan sentiasa berinteraksi bersama rakyat.

Pakatan Harapan (PH) dikatakan menggunakan semua liputan yang terdapat di internet semasa menawan Putrajaya pada GE14. Dari aplikasi Whatsapp, Facebook, Twitter, dan Instagram, sehingga media antarabangsa turut membuat liputan mengenai berita di Malaysia.

Namun, hari ini, Barisan Nasional (BN) serta pihak pembangkang yang lain pula menggunakan platform sama untuk menekan kerajaan PH dalam menjalankan dan melunaskan janji-janji yang telah ditabur ketika berkempen untuk GE14.

Kemunculan platform media yang baru ini boleh dianggap sebagai agen demokrasi bermaklumat.

Boleh dilihat, politik Malaysia sudah mencapai ke satu tahap, di mana setiap calon yang bertanding mempunyai halaman (page) tersendiri di media sosial untuk menarik perhatian pengundi. Mereka sedar bahawa gaya penyampaian maklumat sudah berubah.

Inilah yang gagal difahami oleh PH sehingga menjadi salah satu punca kekalahannya walhal PH sepatutnya dapat membaca langkah BN ini kerana mereka telah menggunakan taktik sama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14  yang membawa kepada kemenangannya.

Hegemoni media BN masih lagi kukuh walaupun tidak lagi menjadi kerajaan. Perpindahan pemimpin dan penyokong BN yang “lompat” parti dikatakan menjadi kelebihan kepada BN kerana mereka tidak lagi mempunyai “lalang” yang hanya mengejar pangkat dan jawatan. 

Dengan ini, mereka boleh menggunakan setiap maklumat dan pengalaman mereka semasa menjadi kerajaan untuk melihat, memastikan, membahas semula, dan mengimbangi setiap usul yang diketengahkan oleh kerajaan PH. 

Walaupun Akta Hasutan masih berkuat kuasa, beberapa Akta yang menyekat kebebasan media dalam proses untuk dimansuhkan dan baru-baru ini, Akta Antiberita Tidak Benar berjaya dimansuhkan oleh Dewan Rakyat. 

Ini menjadikan demokrasi Malaysia lebih terbuka, dan pihak media menjadi tulang belakang kepada pembentukan semula Malaysia. 

Bercakap mengenai berita tidak benar, dapat dilihat, ianya semakin berkurang semenjak PRU 14. Mengambil contoh semasa kempen PRK Tanjung Piai, hampir semua perbahasan yang dilontarkan oleh pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk memancing undi rakyat tidak lagi berdasarkan berita atau fakta yang palsu. 

Walaupun terdapat beberapa sentimen yang kontroversi, seperti sentimen perkauman dan keagamaan, termasuk beberapa pemimpin tertinggi mengeluarkan kenyataan yang berbaur rasis, dan kontroversi permit berkempen dari rumah ke rumah, namun keseluruhan kempen PRK Tanjung Piai berjalan dengan lancar tanpa suasana tegang.

Penyatuan UMNO-PAS bermula semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highland. Penyatuan ini menjadi bualan di semua platform media sehingga ke hari ini kerana ianya bakal menimbulkan ketegangan antara kaum sekaligus bakal merubah corak dan landskap politik di Malaysia, tetapi ia tidak berlaku di Tanjung Piai. 

Dengan majoriti 15,084 undi, jelas ianya bukan datang daripada undi satu kaum sahaja. Kemenangan wakil MCA yang mewakili BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai ini menimbulkan lagi seribu pertanyaan. Walaupun kemenangan ini tidak merubah tampuk pemerintahan sedia ada, namun ianya memberi tamparan hebat kepada kerajaan PH, terutamanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sendiri. 

PPBM bukan setakat kehilangan satu kerusi di Parlimen, tetapi kehilangan juga undi dan kepercayaan daripada orang melayu dan orang bukan melayu di Tanjung Piai.

Dilihat kembali keputusan sembilan PRK yang diadakan selepas PRU 14, DAP bertanding di tiga PRK: 2 menang dan 1 kalah, manakala PKR terlibat di empat PRK: 3 menang dan 1 kalah, dan PPBM pula bertanding di dua PRK: kalah di kedua-dua tempat.

Pelbagai teori dilemparkan daripada pelbagai pihak mengenai kekalahan PH-PPBM di dalam mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas. Daripada referendum, undi protes, sehingga ada yang menuntut Tun Dr. Mahathir untuk melepaskan jawatannya dengan kadar segera. 

Hampir kesemua pandangan tersebut berasas, bukan sekadar pandangan peribadi, tetapi itulah realiti yang wujud di dalam politik pada hari ini. Rakyat sebagai penentu kuasa. Rakyat secara terbuka membahaskan segala isu di media sosial, namun tidak semua wakil kerajaan memantau hal ini. Ia bagaikan interaksi satu hala, sedangkan mereka mempunyai sumber dan platform untuk berinteraksi bersama rakyat secara langsung.

Post-mortem yang ingin dilakukan bukan dengan ahli atau Ahli Jawatankuasa (AJK) Tertinggi parti sahaja, perlu penglibatan daripada semua pihak, rakyat khususnya, daripada akar umbi sehingga pihak profesional. 

Janji, idea, dan imbuhan bukanlah hanya dicanang semasa berkempen di sesuatu kawasan. Pada ketika itulah orang-orang ini sibuk ingin membuat upacara pecah tanah, segala peruntukan diutarakan, dan pelbagai ikrar dilafazkan. Majlis dan ceramah seperti ini hanya dipenuhi oleh orang luar kawasan mengundi berbanding penduduk tempatan itu sendiri. Ianya taktik lama dan sudah lapuk.

Sudah tiba masanya semua ini harus ditukar. Gaya komunikasi wajar diperbaharui. Interaksi bersama rakyat perlu diberi nafas baru. Dan yang paling penting, ianya tidak hanya berlaku semasa musim berkempen sahaja. Komunikasi dan interaksi ini wajib dilakukan sebelum, semasa, dan selepas pilihan raya berlangsung. 

Segala peruntukan, imbuhan, dan janji yang telah diikrarkan perlu sentiasa dibagitahu, dikemas kini, dan disampaikan secara efektif, inklusif, dan sistematik tanpa menunggu musim pilihan raya berlangsung.

Amir Jalal merupakan Pegawai Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article