Michael Jackson dan negara Islam

Jika saya katakan Michael Jackson seorang Muslim, dan ingin menjadikannya realiti, apakah cara terbaik untuk mencapainya?

1690 0
1690 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh Malaysiakini, gambar daripada Berita Harian.

Jika saya katakan Michael Jackson seorang Muslim, dan ingin menjadikannya realiti, apakah cara terbaik untuk mencapai objektif ini? Tentunya berkempen ke serata dunia mengatakan beliau seorang Muslim bukan suatu pilihan. Tetapi untuk sebahagian individu, itulah pilihan yang terbaik. Kempen mengenai ‘keislamannya‘ telah disebarkan di beberapa laman sesawang tidak lama setelah pemergiannya. 

Antara kesilapan strategi gerakan-gerakan pada hari ini adalah mereka berkempen mengenai sesebuah gagasan sebelum meninjau pendirian tradisi keilmuan, atau mengadakan perbincangan dan kajian bersama para sarjana mengenai keabsahan idea yang mereka kempenkan. Natijahnya kempen itu menjelma menjadi suatu bentuk indoktrinasi aktif kepada sasaran masyarakat awam.

Wacana Malaysia sebagai negara Islam yang telah sekian lama pudar daripada perbincangan telah diangkat semula baru-baru ini, dengan slogan “Malaysia negara Islam”. Ia telah dijadikan kempen sebagai reaksi kepada persepsi kabur bahawa Islam tidak lagi didaulatkan semenjak bertukarnya pucuk pimpinan di Putrajaya.

Keabsahan persepsi itu wajar diperhalusi dan dinilai.

Rata-rata sarjana dalam tradisi Islam sentiasa memulakan perbincangan mereka dengan takrif, dan kemudian barulah dibahaskan aspek amalinya. Dan sehingga saat entri ini ditulis, telah banyak tulisan yang dikarang untuk cuba memberikan takrifan apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Malaysia negara Islam.

Sebahagiannya memberikan takrif kekuasaan seperti yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Qayyim; negara Islam adalah negara yang diperintah oleh umat Islam serta berdirinya hukum-hakam Islam.

Sementara itu, ada yang memberikan takrif demografik, seperti yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi; negara Islam adalah negara yang dihuni, atau dibuka oleh umat Islam, sama ada saat mereka berkuasa ataupun selepas dijajah. 

Ternyata takrifannya pelbagai, tidak mutlak dan berbeza-beza mengikut kefahaman para sarjana. Hakikat ini mengukuhkan pandangan pemimpin dan pemikir politik Tunisia, Shaykh Rashid al-Ghannouchi yang mengatakan bahawa politik merupakan ruang vakum dalam Islam, dan oleh itu ia tertakluk kepada ijtihad.

Ini bererti meskipun salah satu takrifan negara Islam ingin direalisasikan, ia tidak wajar dipakaikan dengan status sakral dan kemutlakan ala teori world of forms Plato, sehingga seolah-olah sama tahapnya dengan syariah yang mutlak, dan menolaknya pula seolah bererti menolak Islam. Apakah mencantas sehelai daun yang kekuningan sama ertinya dengan mencantas pokok seluruhnya?

Dalil tangkap muat

Maka dalam hal ini, adalah relevan untuk mengimbau semula pemikiran Karl Popper mengenai nilai kebenaran sesebuah teori dan kaitannya dengan prinsip kebolehsangkalan (falsification). Menurut Popper, sekiranya sesuatu teori tidak boleh disangkal secara empirikal, ia tidak membuktikan kebenaran teori itu, sebaliknya menunjukkan bahawa ia tidak saintifik kerana tidak boleh diuji. Popper telah menggolongkan teori-teori sains sosial sebagai sesuatu yang tidak boleh disangkal.

Sebagai salah satu perbincangan dalam sains sosial, konsep negara Islam tidak boleh melalui uji kaji kebolehsangkalan, maka ia tidak mengandungi nilai saintifik yang semisal mutlak di sisi Popper. Konsep negara Islam adalah suatu perkara yang teoritikal, yang terbuka kepada berbagai penafsiran dan masih boleh diperdebatkan takrifan-takrifannya.

Selain itu, wujud juga kecenderungan untuk menangkap muat dalil-dalil untuk menyokong kenyataan idea negara Islam. Tidak sayugianya kita lupa bahawa Imam al-Haramayn al-Juwayni telah mengkritik al-Ahkam al-Sultaniyyah karangan al-Imam al-Mawardi kerana penyalahgunaan dalil ini. Kebanyakan dalil negara Islam yang dipetik sebenarnya lebih kepada hujah untuk mewajibkan tertegaknya sebuah pentadbiran sebagai lawan kepada anarkisme.

Adapun daripada aspek amalinya, kita wajar melihat keserasian antara takrif negara Islam yang dicadangkan dengan implementasinya dalam konteks negara-bangsa pada hari ini. Abad ke-21 telah melakarkan kepada kita sebuah landskap politik yang jauh berbeza daripada apa yang dialami oleh para sarjana klasik yang menjadi rujukan dalam menakrifkan negara Islam, terutama setelah beberapa siri perjanjian dan kematangan yang dicapai pasca Perang Dunia Kedua.

Sarjana kontemporari Wael Hallaq dalam karyanya The Impossible State pada tahun 2012 telah melakukan analisis yang mendasar terhadap permasalahan keserasian ini, sekali gus melontarkan idea terhadap kemustahilan berdirinya sebuah negara Islam pada hari ini. Oleh itu, untuk meneruskan wacana Malaysia negara Islam yang sedang dikempenkan, adalah mustahak untuk para penggagasnya tampil dengan kritikan ilmiah terhadap tesis The Impossible State terlebih dahulu.

Seperkara juga yang perlu diambil perhatian adalah soal keutamaan yang diberikan kepada label berbanding intipati. Pandangan sarwa Islam tidak pernah mengutamakan label luaran berbanding intipati dalaman. Dalam sebuah hadis riwayat al-Imam Muslim, kita dimaklumkan bahawa Allah SWT tidak sesekali memandang kepada fizikal luaran hamba-hamba-Nya. Yang dipandangnya adalah bagaimana keadaan hati mereka.

Oleh yang demikian, apa jua label sekalipun untuk dianugerahkan kepada sesebuah negara, yang terlebih utama untuk dilihat adalah intipatinya dan pengamalannya berupa penegakan keadilan, penyuburan kemaslahatan, pendaulatan undang-undang, pemeliharaan hak-hak asasi, penentangan terhadap rasuah, penyelewengan kuasa, pengagihan kekayaan secara saksama dan lainnya.

Negara atau masyarakat Islam?

Sekiranya intipati ini menjadi keutamaan, maka apa jua label yang ingin dipakai sekalipun tidak akan menjejaskan maruah negara tersebut. Oleh itu, apa yang diperlukan tatkala ini adalah membangunkan sebuah etika politik Islam berdasarkan acuan Malaysia. Inilah intipati yang lebih utama untuk dikempenkan dan dikembangkan berbanding label negara Islam.

Tambahan pula pada hari ini, label negara Islam telah begitu tercemar lantaran terpalit dengan keganasan tidak berperikemanusiaan oleh Daesh. Hatta forum kempen Malaysia Negara Islam anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pada 4 Mei 2019 juga terpaksa menggunakan istilah islamic nation ketimbang istilah islamic state, yang secara semantiknya bukan bermaksud negara Islam, melainkan masyarakat Islam.

Dalam situasi ekonomi dan sosial yang kurang stabil pada hari ini, fikiran dan tenaga seharusnya disalurkan ke jalan penambahbaikan keadaan masyarakat semasa, terutamanya melalui pemberdayaan ekonomi dan pemugaran pemikiran. Itulah keutamaan yang hakiki pada saat ini. Perjuangan label dan identiti adalah perjuangan masyarakat kelas pertengahan, yang menurut Francis Fukuyama, menyuluh semangatnya daripada thymos. Ia lebih cenderung bersifat emosional berbanding rasional.

Selain melalui ucapan, forum dan ceramah di masjid, kempen Malaysia negara Islam turut menyasarkan satu juta tandatangan umat Islam sebagai tanda sokongan terhadap slogan, sebelum akhirnya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Kempen demi status negara Islam ini turut disokong oleh beberapa ahli politik yang berpengaruh. Bagaimanapun perlu kita sedar bahawa mendiang Michael Jackson tidak sekali-kali menjadi Muslim kerana hebatnya kempen yang mengatakan beliau itu Muslim.

Hilman Fikri Azman merupakan Pegawai Penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article