Sokongan berterusan untuk Zoo Negara

Sebagai rakyat Malaysia kita haruslah memberikan sokongan penuh sebagai tanda penghargaan atas perkhidmatan mereka yang tak ternilai.

1650 0
1650 0
Bahasa Melayu

Diterbitkan oleh Free Malaysia Today, gambar daripada Free Malaysia Today.

Oleh kerana Zoo Negara terjejas semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana ketiadaan pengunjung, maka sokongan yang tiada henti diperlukan untuk menghidupkan semula satu-satunya zoo utama kita.

Ini kerana sokongan kita dapat membantu tempat tersebut untuk kembali beroperasi seperti biasa dan menambah keseronokan haiwan untuk berinteraksi dengan pengunjung setelah beberapa bulan kesunyian semenjak pelaksanaan PKP.

Menurut catatan media sosial Zoo Negara, haiwan turut terjejas pada masa itu kerana ia berasa sunyi tanpa kehadiran pengunjung dan barangkali juga “merindukan” suara kegembiraan kanak-kanak.

Wabak Covid-19 memaksa Zoo Negara ditutup sementara kepada pengunjung awam dan keadaan itu menyebabkan haiwan yang tinggal di situ menjadi sunyi dan turut mempengaruhi keseluruhan zoo di seluruh dunia.

Penjaga di Zoo Giza, zoo terbesar dan terkenal di Mesir, misalnya berkata, beruang dan cimpanzi menjadi malas kerana mereka tidak melihat pengunjung seperti biasa.

Haiwan akan memberi respons yang berlainan dan sesetengahnya menikmati kebebasan dalam persekitaran yang lebih tenang semasa penutupan dan sekatan kerana saat yang tidak dijangka ini menjana peluang yang baik untuk mengurangkan tekanan, diet, pola tidur dan proses kahwin yang teratur.

Di India, pegawai zoo di Delhi berkata, haiwan memaparkan lebih banyak aktiviti, suka bermain dan tahap agresif mereka menurun. Harimau yang paling agresif di sana kebanyakannya kelihatan tenang.

Zoo Negara mendapat mandat global untuk mencegah pemberian makanan kepada haiwan semasa bermulanya serangan virus tersebut pada Januari dan terdapat juga arahan kerajaan agar orang ramai mengelakkan interaksi dengan hidupan liar.

Bagaimanapun, Zoo Chester di UK mengatasi masalah tersebut melalui percubaan yang menarik dengan mengadakan lawatan dalam talian yang membolehkan orang ramai memerhatikan haiwan dari keselesaan ruang tamu mereka di sebalik pintu yang tertutup.

Penularan wabak Covid-19 juga meninggalkan kesan kewangan kepada Zoo Negara, tetapi mereka bernasib baik kerana berjaya menyimpan sejumlah dana kecemasan untuk menampung perbelanjaan mereka.

Sebilangan orang ramai menganggap tempat tersebut tidak mempunyai dana yang cukup kerana pendapatan utama mereka adalah berdasarkan penjualan tiket semata-mata, namun pihak pengurusan zoo tidak memotong sebarang perbelanjaan dan semua kakitangan menerima gaji penuh tanpa pemberhentian.

Terdapat juga andaian seolah-olah kekurangan dana adalah disebabkan oleh pengenalan pakej anak angkat serta wajah suram dan tingkah laku aneh yang dipaparkan oleh haiwan di yang menimbulkan banyak salah faham dan tanggapan.

Secara kasarnya ia boleh dilihat sebagai andaian yang sah, tetapi Zoo Negara sebenarnya mampu bertahan semasa PKP oleh kerana dana kecemasan dan sumbangan yang baik melalui kejayaan program anak angkat.

Zoo Negara bekerjasama dengan Ticket2u untuk mencipta cara yang lebih mudah bagi orang ramai menderma serta membolehkan penderma menyokong penjagaan haiwan secara kewangan melalui program “Adopt Our Animal”.

Semua haiwan di Zoo Negara bersedia untuk dijadikan anak angkat bagi mengekalkan makanan dan penjagaan veterinar tahunan mereka.

Sebagai tanda penghargaan, e-sijil anak angkat yang menampilkan haiwan yang dipilih akan dikeluarkan kepada peserta.

Selain itu, pihak berkuasa zoo juga mendorong mereka yang memilih untuk menyumbang makanan haiwan agar memastikan terlebih dahulu bahawa kualiti, kuantiti dan keadaan sayur-sayuran, buah-buahan, daging dan ikan diperiksa dan dinyatakan dengan tepat.

Sebenarnya, pakej anak angkat adalah salah satu amalan biasa di kebanyakan zoo di seluruh dunia dan ada juga yang mendorong orang ramai untuk meninggalkan wasiat kepada zoo seperti apa yang dilakukan di Zoo Victoria, Australia.

Mereka sangat berterima kasih atas sokongan orang ramai dan turut menerima sumbangan dengan hati yang terbuka walaupun Zoo Negara mempunyai dana dan bekalan yang cukup untuk bertahan pada masa ini.

Sejak pembukaan semula semasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), sambutan orang ramai baik, terutama pada hujung minggu.

Zoo Negara juga mengadakan kempen promosi kemasukan percuma selama 1 tahun untuk 100 pelawat berbayar pertama dari 13 Jun hingga 21 Jun 2020 yang bertujuan membantu meningkatkan jumlah pengunjung.

Seperti yang difikirkan pada waktu itu, orang ramai pasti memilih untuk melakukan perkara lain, selain daripada pergi ke zoo, tetapi andaian mereka salah kerana kebanyakan orang masih memilih Zoo Negara sebagai destinasi pelancongan yang popular setelah beberapa bulan tinggal di rumah.

Ini kerana kebanyakan orang berusaha untuk melegakan tekanan dengan mengunjungi Zoo Negara sejurus selepas permulaan PKPP yang membolehkan mereka keluar dan melakukan perjalanan rentas negeri.

Mengenai kesan PKPP kepada haiwan, EMIR Research memerhatikan bahawa haiwan kelihatan sangat gembira dan teruja kerana akhirnya mereka berpeluang untuk bertemu dengan pengunjung, terutamanya Yi Yi anak panda gergasi yang sangat suka bermain dan aktif semasa pembukaan semula zoo.

Namun, cabaran Zoo Negara ketika ini adalah tahap kepatuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) serta timbulnya banyak persepsi masyarakat yang tidak tepat dan isu yang harus ditangani oleh pihak berkuasa zoo seperti masalah singa kurus baru-baru ini.

Oleh kerana waktu pembukaan Zoo Negara sekarang kembali normal semasa PKPP, terdapat beberapa halangan bagi orang ramai untuk memeriahkan tempat tersebut, terutamanya SOP baru yang dilaksanakan oleh Zoo Negara yang mengehadkan jumlah pengunjung kepada 500 orang sahaja setiap jam.

Beberapa program, termasuk perkhidmatan sukarelawan juga ditangguhkan buat sementara waktu kerana fokus mereka sekarang hanya pada operasi rutin harian.

Disebabkan Zoo Negara tidak dapat dikunjungi oleh pelancong asing pada masa ini, sebagai rakyat Malaysia kita haruslah memberikan sokongan penuh sebagai tanda penghargaan atas perkhidmatan mereka yang tak ternilai.

Farhan Kamarulzaman adalah pembantu penyelidik di EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang memberi tumpuan kepada saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan terperinci, konsisten dan menyeluruh.

In this article